Andai Tiada Jodoh, Ucapkan “Kamu bahagia, saya juga pasti akan bahagia”
Apa yang anda akan rasa andai tiada jodoh dengan buah hati idaman?
Adakah anda mampu ikhlas dengan perpisahan ini?
Ada kalanya, ada orang yang sudah lama bercinta ataupun mengikat tali kasih, akhirnya ternyata tidak ditakdirkan untuk dapat bersama.
Mungkin pelbagai sebab yang terjadi adalah punca yang menyebabkan anda gagal melangkah ke pelamin.
Bagi menutup rasa kecewa, seorang daripada anda mungkin berkata, “Apabila awak bahagia, saya juga bahagia.”
Tetapi benarkah perkataan itu ikhlas dan murni dari hati, atau sekadar penyedap keadaan?
Selalunya mulut berkata kuat, tetapi hati masih tidak dapat menerima apa yang terjadi.
Dihadapan dia, anda boleh tersenyum ceria, tetapi di rumah dihujani air mata.
Saya faham. Perkara ini sungguh memberatkan jiwa.
Apabila berhadapan keadaan sebegini, teruskan melangkah dan mempersiapkan mental bagi menghadapi kenyataan.
Pada awalnya memang sukar.
Tetapi, sekiranya kita terus berusaha sedaya upaya, akan tiba satu saat nanti kita juga berani berkata dengan ikhlas dari hati, “Apabila kamu bahagia, saya juga pasti akan bahagia, Insya Allah.”
Adakah Anda Berani Berkata Sebegitu?
Saya percaya, ia bukan soal berani atau tidak.
Tetapi ia berkenaan cara kita menerima kenyataan.
Sekiranya sekadar berkata-kata, semua orang mampu mengungkapkan.
Namun, komitmen dan perjuangan yang luar biasa diperlukan bagi menerima kenyataan dengan ikhlas.
Selain itu diperlukan juga keyakinan yang teguh kepada takdir-Nya.
Atas dasar itu, sikap husnuzon atau berbaik sangka kepada-Nya perlu sentiasa tertanam dalam dada.
Andai Tiada Jodoh, Doakan Si Dia Bahagia. Ucapkan “Barakallahulaka”
Ini adalah ucapan termanis dan terindah sewaktu anda menghadiri majlis perkahwinannya.
Tunjukkan jiwa besar anda dengan mengucapkan Barakallahulaka.
Ia adalah ucapan yang mulia dan penuh dengan doa.
Apabila Uqail bin Abi Thalib berkahwin dengan seorang wanita dari Bani Yasir, Al-Hasan berkata, “Semoga kamu berbahagia dan mendapat ramai anak.”
Uqail menjawab, “Ucapkan sebagaimana Rasulullah s.a.w berdoa, ‘Semoga Allah SWT memberi dan menjadikan kamu bahagia..‘”.
Hadis ini diriwayatkan oleh Nasa’ie.
Rasulullah tidak mendoakan mereka mendapat banyak anak, sebaliknya mengucapakan Barakallahulaka – Semoga keberkatan daripada Allah SWT dilimpahkan kepada anda berdua.
Selepas memberanikan diri dan berkata “Apabila kamu bahagia, aku juga bahagia”, seterusnya adakah kita berani berkata Barakallahulaka?
Sekiranya mampu, pasti lebih baik.
Tetapi sekiranya tidak sanggup dan hati masih belum mampu menerima, usah dipaksa.
Usah pula mulut anda berkata barakallahulaka, tetapi air mata berhamburan dipipi setiap masa.
Mulut anda berkata, “Aku bersedia menghadapi realiti”, tetapi hati kita masih menyimpan beban trauma dan luka mendalam.
Oleh itu sahabatku, berusaha menerima kenyataan dengan penuh kebesaran jiwa, kematangan dan sikap dewasa.
Anda boleh.
Dengan izin Allah, pasti boleh.
Jika ada persoalan, nyatakan pada ruangan komen dibawah.
InsyaaAllah saya akan bantu semampu yang boleh.